Thursday 14 June 2012

Bersih 2 Sisi


KENYATAAN MEDIA TUAN IBRAHIM: Isu Tangguh Haji - Merumitkan Sesuatu Yang Mudah

Isu tangguh haji masih hangat diperkatakan oleh media-media pro Umno.

Kenyataan saya yang dibuat pada Jun 5 kepada Selangorku yang menyeru “ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya” – dalam kata yang lebih spesifik – “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” telah diputarkan seolah-olah ia ditujukan kepada semua umat Islam di Malaysia 8 hari kemudian oleh Utusan Malaysia.

Namun begitu, ia tidak hairan – selepas  kontroversi PTPTN yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene – mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat.

Bajet 2013 yang disebut bajet pilihanraya akan diumum pada September 28. Tarikh Hari Raya Haji adalah 26 Oktober.

Sudah ada bayangan pilihanraya umum 1985 di musim haji bakal berulang.

Isu tangguh haji ini sebenarnya mudah – betulkah PRU-13 akan diadakan di musim haji?

Masalahnya tiada yang tahu.

Apakah mungkin PRU-13 diadakan di musim haji?

Masalahnya ialah mungkin.

Apakah yang perlu dilakukan jika PRU-13 diadakan di musim haji?

Salahkan perdana menteri? Itu hak beliau, walaupun PAS memang membantah jika PRU-13 diadakan di musim haji.

Adakah orang-orang Umno yang terlibat dengan PRU-13 akan pergi menunai haji? Calon, wakil calon dan agen parti seperti pengarah pilihanraya akan terus juga dengan niat menunai haji.

Tiada yang bertanya.

Walhal, soalan yang patut difokuskan ialah wajarkah perdana menteri mengadakan pilihanraya di musim haji?

Jawapannya jelas tidak.

Apakah jaminan ia tidak berlaku?

Tiada. Sebab itu PAS mendesak perdana menteri bagi jaminan. Dan tekankan “SEKIRANYA” Umno demi untuk menang, mengadakan PRU di musim haji, ahli PAS yang terlibat terus dengan PRU-13 yakni “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” disarankan tangguh haji.

Golongan ini dalam PAS, ramai yang sudah menunaikan haji – mereka adalah veteran. Dalam Umno tak pasti pula.

Isu ini adalah mudah.

Kalau yang cadang tu ialah timbalan perdana menteri atau menteri Umno tentu keadaan dan komentar akan berubah menyokong habis-habisan. Jadi isunya bukan menangguhkan haji sebenarnya siapa yang buat cadangan itu.

Tapi Umno merumitkannya kerana ia tahu, isu sebenar memberi tekanan kepada perdana menteri untuk menyatakan satu tarikh pilihanraya.

Segalanya akan selesai jika tarikh pilihanraya diketahui lebih awal.

Tiada yang risau ingin menunai haji.

Tiada yang risau masa bercuti mereka sama dengan tarikh pilihanraya.

Bahkan, untuk seluruh warga yang bekerja, samada di pihak swasta mahupun kerajaan boleh merancang sebaiknya dengan tarikh pilihanraya diketahui.

Namun penyelesaian yang mudah ini bukan fokus akhbar-akhbar Umno.

Mereka perlukan talian hayat – mereka menilai isu tangguh haji ini sebagai isu yang boleh mengalih perhatian.

Betulla juga, tapi mereka terlupa, terbuta melihat bahawa perhatian kini beralih balik ke perdana menteri.

So, bila perdana menteri nak buat PRU13? Musim haji ke? Calon Umno pergi haji ke tak tahun ini? Boleh bagi jaminan tak buat PRU13 masa musim haji?

Senyum.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

KENYATAAN MEDIA TUAN IBRAHIM: Jaminan PM Diperlukan Untuk Hilang Keresahan Bakal Jamaah Haji

PAS mendesak Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji tahun ini.

Jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jamaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi.

Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

Selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu.

Kalau mereka sebagai pengundi tidak seberat tekanan sekiranya dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya. Tambahan pula, seandainya pilihanraya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

Ini sudah tentu akan meninggalkan kesan yang besar kepada keputusan dan peratusan keluar mengundi. Ini melibatkan semua parti politik, dan apa yang penting ialah hak rakyat dalam sistem demokrasi hendaklah dihormati.

Tindakan Perdana Menteri yang bermain teka-teki dalam rahsia tarikh pilihanraya telah menyebabkan banyak spekulasi terhadap apakah tarikh pilihanraya yang besar.

Keadaan ini amat tidak sihat untuk negara kerana sangat mengganggu perancangan pelbagai pihak.

PAS melihat kebimbangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihanraya membuktikan bahawa prospek Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya sudah menjadi satu kemungkinan yang boleh berubah menjadi realiti di sanubari BN.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat